Halaman

30 October 2013

UniSZA jalin kerjasama dengan Universiti Okayama

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Okoyama, Jepun dalam usaha mengantarabangsakan kecemerlangan akademik UniSZA khususnya dalam bidang Teknologi Kejuruteraan dan Perubatan.

Naib Canselornya, Prof Dr. Yahaya Ibrahim berkata, perjanjian tersebut memberi manfaat kepada UniSZA melalui hubungan dua hala khususnya dari segi pengajaran, penyelidikan dalam bidang Teknologi Robotik, Kejuruteraan Komputer dan Elektronik serta Teknologi Telekomunikasi yang akan ditawarkan di bawah Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan.

“Universiti Okoyama bersetuju menghantar seorang pensyarah Teknologi Robotik dan juga dua pensyarah Perubatan yang merupakan pakar bius untuk berkhidmat di UniSZA selama dua tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di UniSZA, semalam.

Prof Dr. Yahaya berkata, usaha pengantarabangsaan kecemerlangan akademik UniSZA juga diharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari negara luar untuk menyambung pelajaran di UniSZA terutamanya bagi program Lepasan Ijazah.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof Dr. Yahaya Ibrahim manakala Universiti Okoyama pula diwakili Prof Dr. Keigo Watanabe yang berlangsung di Universiti Okoyama pada 18 Oktober lalu.