Halaman

07 October 2013

Terengganu sedia kongsi Konsep ‘Ulul Albab’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sedia berkongsi kejayaan Konsep 'Ulul Albab' yang diperkenalkan di Terengganu demi memartabatkan bidang pendidikan negara sekali gus melahirkan generasi pewaris yang cemerlang akademik dan sahsiah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, YB Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Kedah yang tertarik dengan program tersebut dan mahu dilaksanakan di negeri itu.

“Ia merupakan suatu pengiktirafan kepada negeri Terengganu apabila kerajaan Kedah sudi mencontohi dan mengaplikasikan apa yang telah kita laksanakan.

“Demi membangunkan anak bangsa khususnya dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri berbesar hati bekerjasama dengan kerajaan Kedah untuk merealisasikan Konsep 'Ulul Albab' di negeri tersebut menjadi kenyataan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Exco Pendidikan Kedah dan Exco Pendidikan Terengganu di Riyaz Heritage, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain berkata, apa yang menarik mengenai Konsep ‘Ulul Albab’ ia merupakan suatu kaedah memantapkan lagi pendidikan sedia ada khususnya dari segi peningkatan jati diri contohnya seperti penghafalan al-Quran.

 “Selain meningkatkan ilmu agama dan keintelektualan pelajar, ia turut memprogramkan mereka supaya tidak membuang masa kerana disamping mempelajari kurikulum biasa, masa pelajar akan dipenuhi dengan program-program ‘Ulul Albab’.

Dato’ Haji Tajul Urus berkata, beliau akan meminta Jabatan Pelajaran Kedah mengkaji secara lebih terperinci mengenai perkara tersebut yang turut mendapat sokongan daripada YAB Menteri Besar Kedah.

“Sebagai perintis, kita akan memilih satu sekolah agama rakyat untuk laksanakan program ini dan menyasarkan Konsep ‘Ulul Albab’ terlaksana di negeri Kedah pada tahun 2015.

Katanya, sekiranya program ini boleh berjaya di Terengganu, beliau yakin ianya juga boleh berjaya di kedah.

Konsep 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.