Halaman

28 October 2013

Terengganu jadi lokasi pertemuan pakar gamelan

 Oleh: Suriati Ali




 Kerajaan negeri berharap Festival Gamelan Sedunia terus bertapak di Terengganu kerana mampu memberi pendedahan seni dan maklumat bercorak pembelajaran kepada masyarakat setempat, terutama pecinta budaya.

 Pada masa sama, menjadi medan pertemuan ramai pakar dan peminat gamelan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Thailand yang menyertai festival itu.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Mohd Shafie, berkata pihaknya sebolehnya mahu menjadikan Terengganu sebagai plaftform mengenengahkan pelbagai seni gamelan, termasuk budaya Melayu kepada aktivis luar negara.



“Sudah sampai masa dan ketikanya untuk menjadikan gamelan Melayu ini menjadi hebat dan bertaraf lima bintang, setanding dengan gamelan-gamelan lain yang sudah tersohor sebagaimana gamelan Jawa dan Bali,.

“Langkah itu dianggap penting kerana mampu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menggalakkan pelancong terus mengunjungi negeri ini sekaligus mampu memperkenalkan budaya dan keindahan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Festival Gamelan Sedunia 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaaan Negeri (Pengurusan), Mat Yasin Awang dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Encik Mohd Yusof Abdullah Festival selama tiga hari itu bermula 25 Oktober disertai 15 kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara, membabitkan kumpulan gamelan profesional, kumpulan Institusi Pengajian Tinggi dan kumpulan pelajar sekolah.



Antara kumpulan yang menyertai, termasuk Sanggar Singamurthi, Seni Benawa, Garasi dari Indonesia; Lambangsari, Japan Gamelan, Jepun dan Club dan Gastarana dari Bukit Tinggi Sumatera.



Manakala kumpulan dari dalam negara pula adalah seperti Hand Percussion, Istana Budaya, Akademi Senibudaya dan Warisan Malaysia, Kumpulan Kesenian Kerajaan Terengganu dan Kumpulan Warisan Negeri Terengganu.

Encik Mohd Yusof berkata, festival itu memberikan nafas baru kepada kesinambungan dan perkembangan muzik itu agar terus subur dan tersohor di serata negara.

“Festival itu akan diteruskan kerana sememangnya mampu memberi ruang kepada masyarakat terutama pelajar bidang berkaiatan supaya dapat mengenali dan mencintai seni gamelan,” katanya.