Halaman

19 October 2013

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyempurnakan Majlis Konvokesyen UMT kali ke-11

Oleh: Noraini Jusoh

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Konvokesyen kali ke-11 Universiti Malaysia Terengganu (UMT, hari ini.


Sesi pertama bagi Majlis Konvokesyen yang diadakan selama dua hari ini bermula kira-kira jam 7:30 pagi dengan ketibaan para graduan dan jemputan serta diikuti dengan keberangkatan tiba Sultan dan Sultanah Terengganu.

Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor UMT berkenan menyampaikan titah ucapan dalam majlis ini dan menyempurnakan pengurniaan ijazah dan anugerah kepada graduan.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan 1962 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing, iaitu 15 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 114 penerima Ijazah Sarjana, 1727 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 106 penerima Diploma.

Majlis dimulai dengan pengurniaan dua anugerah istimewa iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid manakala Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dianugerahkan kepada Tan Sri Dato’ Dr Mohd Yusof Md Noor.

Kemudian, diikuti pengurniaan ijazah dan anugerah kepada graduan sebelum pengisytiharan penangguhan majlis untuk sesi pagi ini.