Halaman

01 October 2013

Sultan Mizan berkenan sampai hadiah pemenang bot berhias

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Bot berhias yang menonjolkan keindahan dan keunikan Tasik Kenyir, milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) muncul johan Pertandingan Bot Berhias 2013, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Bot Berhias milik Ketengah muncul johan Pertandingan Bot Berhias 2013.
Kemenangan itu membolehkan Ketengah menggondol RM25,000, manakala tempat kedua Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan ketiga Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), masing-masing menerima wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Sementara tempat keempat dan kelima, Pejabat Daerah Dungun serta Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan masing-masing membawa pulang RM7,000.



Pertandingan sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bertemakan `Daulat Tuanku, Tahun Melawat Terengganu 2013’ disertai 12 bot dari pejabat daerah serta lima jabatan serta agensi kerajaan.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bertitah dan merasmikan pertandingan serta menyampaikan hadiah kemenangan kepada pemenang.


Baginda diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Turut hadir, Yang Berhormat Mulia Engku Kelana DiRaja dan To’ Puan Sharifah Sahalat; Setiausaha Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain serta Datin Sharifah Zarinatasha Jamlulail.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.