Halaman

21 October 2013

Rapatkan barisan, kerja untuk PRU-14

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meminta pemimpin Umno di semua peringkat merapatkan hubungan sesama mereka dan melupakan segala perselisihan semasa kempen pemilihan parti yang berakhir kelmarin.

Sebaliknya, beliau meminta semua pemimpin yang diberi mandat memikul tugas mereka bekerja keras bagi memulihkan kekuatan parti dan memantapkan jentera sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

 “Kita beri kebebasan kepada semua orang untuk bertanding semua jawatan yang mereka mahu...Kini sampai masa untuk mereka bekerja untuk parti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Canselor TATIuC di Telok Kalong, semalam.

Proses Pemilihan Umno 2013 di lapan bahagian di negeri ini menyaksikan transformasi kepimpinan besar-besaran apabila enam muka baharu memenangi pertandingan merebut jawatan ketua Umno bahagian bagi penggal 2013-2016.

Daripada enam bahagian yang mendapat ketua baru, tiga daripadanya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) iaitu Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Kuala Nerus), YB A Latiff Awang (Marang) dan YB Nawi Muhamad (Besut).

Muka baharu lain yang turut diberi mandat menerajui bahagian ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari (Hulu Terengganu); Dato’ Din Adam (Dungun) dan Dato’ Mohd Sabri Alwi (Kuala Terengganu).

Dato’ Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Mohd Jidin Shafee kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Setiu.

Mengulas mengenai keputusan pemilihan Umno kali ini, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, perwakilan dari seluruh negeri sudah pun membuat keputusan dan ia perlu dihormati oleh semua pihak.

 “Kita perlu muka baru dan muka lama dalam parti dan mereka yang dipilih perlu bekerjasama bagi menguatkan parti, terutama menjelang PRU14,” ujar beliau.

Beliau berkata, di dalam politik tidak ada istilah muka lama atau pun baharu, tetapi mereka semua adalah pemimpin yang diberi kepercayaan untuk menerajui bahagian masing-masing.

“Itulah uniknya politik...Saya harap semua pihak memberi kerjasama kepada pemimpin yang telah dipilih di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bagi menggerakkan semua program yang dirancang oleh Umno,” katanya.