Halaman

08 October 2013

Pusat Jagaan Harian Warga Emas beri khidmat percuma

Oleh; Esah Abdullah

 Individu yang bekerja boleh menghantar ibu bapa mereka ke Pusat Jagaan Harian Warga Emas (PJHWE) sementara mereka keluar bekerja.

Pegawai jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Puan Noor Hayati Zaman berkata, mereka boleh menghantar ibu bapa mulai jam 8 pagi dan menjemput mereka pulang selepas tamat waktu kerja.

“PJHWE yang terletak di Bukit Payung, Marang itu di bawah seliaan JKM dan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan serta tidak dikenakan sebarang bayaran kepada penghuninya,” katanya.

Katanya, pusat ini mempunyai konsep sama seperti pusat asuhan kanak-kanak yang dikhaskan bagi warga emas untuk memudahkan anak menghantar ibu bapa sementara mereka ke tempat kerja.

Katanya, makan minum disediakan secara percuma dan pelbagai aktiviti seperti kelas mengaji al-Quran serta peralatan senaman turut disediakan.

“Warga emas yang tinggal sementara di PJHWE boleh menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang mereka dan daripada ditinggakan di rumah bersendirian lebih baik mereka ini ditinggalkan di pusat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu mereka yang mempunyai ibu bapa warga emas tidak perlu bimbang sepanjang mereka berada di tempat kerja kerana di PJHWE mempunyai penyelia untuk menjaga mereka.