Halaman

10 October 2013

Kerajaan komited perkasa tulisan jawi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri komited memartabatkan tulisan jawi menerusi penggunaannya pada nama syarikat, kawasan perumahan dan premis perniagaan sebagai langkah mengelakkan daripada pupus.

Insentif kerajaan termasuk meminta Pihak Berkuasa Tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda, nama jalan dan sebagainya mengutamakan bahasa kebangsaan dan tulisan jawi yang betul.

“Ia selaras dengan undang-undang Kecil Iklan dan garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan, seperti Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT:MNKT/D/Bil.1/2005 Bertarikh 11 Januari 2005.

“Dewan Bahasa Dan pustaka (DBP) juga dengan kerjasama Kementerian perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menerbitkan buku mengenai Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan Raya pada 1996 dan 2007 untuk rujukan,”katanya di Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Prof Dr Zaharani Ahmad dan Tokoh Bahasa dan Felo Institut Alam Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato’ Teo Kok Seong.

Menteri Besar sebelum itu berkata, tulisan jawi yang pernah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke-18 amat berkait rapat dalam perkembangan bahasa kebangsaan kita pada hari ini.

 “Bagaimanapun, kedudukan tulisan jawi pada masa kini seolah-olah terpinggir malah tidak lagi digunakan secara meluas.

“Dalam erti kata lain, peranannya sebagai pemancar jati bangsa Melayu kian terhakis dan semakin ditelan zaman,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap BBK akan memberikan impak yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya di Terengganu.

Beliau meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi sepanjang masa khususnya sepanjang BBK ini selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 : Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Katanya, sambutan BBK bertujuan memberikan pengisian terhadap tema sambutan pada tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

“Bahasa Melayu ialah bahasa negara dan lambang kedaulatan negara yang perlu dimartabatkan secara keseluruhan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan rakyat ke arah pembinaan negara yang berdaulat dan negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 1956, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasakan bahasa Melayu,” katanya.

Antara usaha DBP adalah Khidmat Nasihat DBP, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), e-Buana dan e-Pendeta yang boleh diakses melalui internet pada setiap masa dan tempat oleh pengguna.