Halaman

06 October 2013

KBS perkenal sistem penarafan lima bintang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan sistem penarafan lima bintang secara talian bermula April depan, dalam usaha memastikan persatuan belia yang aktif dapat menikmati lebih banyak manfaat dari kerajaan.

Menterinya, YB Khairy Jamaluddin, berkata sistem penarafan itu memerlukan persatuan mematuhi perlembagaan yang digariskan Pertubuhan Belia (ROY), selain harus menyediakan maklumat tahunan, program, struktur dan organisasi yang jelas.

“KBS akan memastikan, yang pertama, dia mematuhi perlembagaan (ROY) itu sendiri, kedua menghantar laporan dan maklumat kepada ROY setiap tahun dan ada persatuan belia yang tidak hantar, jadi itu sebahagian daripada penafaran.

 “Lepas itu aktiviti, kita kena pastikan mereka menjalankan aktiviti dan program dengan berkesan, jadi itu semua akan menjadi kriteria atau syarat untuk penafaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama pemimpin Belia danMasyarakat, di Dewan Besar Kompleks belia dan Sukan Negeri Terengganu, Pasir Panjang, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Mohd Mahdi Musa, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda dan Pengerusi Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Mohd Iskandar Jaafar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Pada majlis itu, YB Khairy turut menyampaikan sumbangan dana kementerian sebanyak RM260,000 kepada 660 persatuan belia di seluruh Terengganu.

 “Kita akan melaksanakannya bermula April, mungkin dalam tempoh masa setahun, kita buat penarafan dan boleh tengok yang mana kita boleh beri peruntukan tambahan berdasarkan kepada prestasi, sebab apabila kita sudah buat sistem penarafan lima bintang ini, yang mana dapat lima empat bintang, dia akan kata apa kelebihan dapat empat lima bintang, mesti lah dapat sesuatu, jadi saya rasa itu permintaan yang adil.

“Jadi kita di peringkat KBS kita kan menentukan dasar lima empat bintanng apa yang mereka akan dapat, sudah pasti dari segi dana melaksanakan program itu yang dmereka minta, jadi kita kena tetapkan dan itu belum lagi kita putuskan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pegawai belia di setiap daerah akan menghubungi mana-mana persatuan belia yang dikenalpasti tidak aktif bagi mendapatkan maklum balas berkaitan masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, KBS masih boleh berunding dan membantu mana-mana persatuian yang tidak aktif akibat masalah teknikal berbanding persatuan yang sudah tidak berminat dan gagal aktif walaupun sudah membuat pemilihan semula dan mendapat kepimpinan baru.

“Jadi saya nak bantu mereka yang aktif sebab ada banyak persatuan yang aktif, tapi kita tidak dapat bantu sebab kalau dulu kita buat `pukul rata’ pada 2009, dan kita dapati apabila kita beri kepada semua memang tidak menepati sasaran.

“Ada sesetengah persatuan belia yang tidak aktif, akhirnya dia dapat RM3,000, kerajaan rugi dan ada yang memang berbaloi apabila kita beri RM3,000 memang setimpal dengan aktiviti dan prestasi mereka,” katanya.

YB Khairy berkata, terdapat kira-kira 300 daripada 8,300 persatuan yang berdaftar di bawah ROY dikenalpasti tidak aktif berikutan  gagal menghantar laporan persatuan selama tiga hingga empat tahun.

“Apabila saya ambil alih, jumlah itu 400 lebih, tetapi saya minta ROY periksa balik, dan daripada pemeriksaan itu, daripada kira-kira 100 itu boleh dihidupkan semula dan memang aktif, tetapi 300 lebih itu memang sekarang ini masih bermasalah.

 “ Tetapi kalau daripada 8,000 lebih memang tidak besar sangatlah angka berkenaan,” katanya.