Halaman

04 October 2013

IQT sasar seorang hafiz setiap keluarga


Institut Al-Quran Terengganu (IQT) menyasarkan melahirkan seorang hafiz Al-Quran setiap keluarga bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi peneraju Quraniyah.

Pengarahnya Datuk Dr Alias Abdullah berkata di samping ilmu pengetahuan umum, ilmu Al-Quran juga penting dalam membentuk masyarakat.

 "Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mempunyai ilmu dunia, tetapi juga mempunyai ilmu akhirat, supaya Al-Quran dapat menjadi pembimbing hidup kita," katanya, baru-baru ini.

IQ Terengganu juga berhasrat menjadi tempat tumpuan masyarakat dalam menuntut ilmu, katanya.

 "Pelajar yang masuk ke institut ini merupakan lulusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), mereka akan belajar di sini selama empat tahun untuk melayakkan mereka mendapat sijil.

 "Bagi masyarakat umum pula, kita menyediakan satu kuliyah khas untuk masyarakat yang berumur 18 hingga 65 tahun...melalui kuliyah ini, mereka diajar dari asas bacaan Al-Quran, termasuklah tajwid hingga ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Datuk Alias berkata program Kuliyah Al-Furqan membabitkan dua kursus iaitu Kursus Ulum Al-Quran melibatkan tahap satu hingga empat dan Kursus ad-Dirasat al-Quraniyyah yang mempunyai lima tahap iaitu qiraat, bahasa Arab, tafsir, tahfiz dan tarannum.

 Menurutnya sehingga kini IQ Terengganu merupakan satu-satunya pusat pengajian di negeri ini yang menjalankan program Qiraat Sub'ah yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan setiap tahun sebanyak 1,600 pelajar baharu diambil untuk pengajian itu.