Halaman

20 October 2013

Graduan cemerlang UMT terima anugerah

 Oleh: Noraini Jusoh

Sudah menjadi tradisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan graduan cemerlang sebelum berlangsungnya majlis konvokesyen pada setiap tahun.
Seramai 36 graduan UMT menerima anugerah kecemerlangan yang merupakan pengiktirafan kepada usaha mereka dalam mengharumkan nama universiti yang diadakan sehari sebelum majlis konvokesyen bertempat di Auditorium Mahyuddin, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UMT.

Naib canselornya, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo (gambar) berkata, anugerah tersebut merupakan anugerah tahunan yang diberi oleh UMT kepada graduan berdasarkan kecemerlangan graduan secara holistik.

“Penerima anugerah dipilih berdasarkan kriteria tertentu seperti kecemerlangan pelajar dalam akademik, bidang kokurikum serta sahsiah diri," katanya dalam sidang media di Majlis Anugerah Graduan Cemerlang UMT 2013, baru-baru ini.

Katanya, selain menghargai jasa dan sumbangan pelajar kepada universiti, anugerah itu juga diharap dapat menjadi perangsang kepada mahasiswa lain.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaharudin Idrus.

Sebanyak dua kategori anugerah diberi oleh UMT iaitu Anugerah Naib Canselor yang disampaikan kepada 10 penerima dan Anugerah Fakulti untuk 26 graduan.

Hadiah berbentuk sijil penghargaan dan pingat diberikan kepada penerima Anugerah Naib Canselor manakala cek bernilai RM500, sijil penghargaan dan pingat diberikan kepada penerima Anugerah Fakulti.
Graduan Sarjana Muda Kuanseling, Mazzaid Mazelan, 25, berkata, perasaannya sungguh terharu apabila dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Naib Canselor.

“Segala penat lelah dan kerja kuat saya sepanjang bergelar pelajar berbaloi apabila menerima anugerah ini.

"Walaupun selalu mengulangkaji pelajaran di saat akhir kerana mengutamakan tanggungjawab terhadap aktiviti kepimpinan dan persatuan, saya bersyukur kerana tersenarai sebagai salah seorang penerima anugerah,” ujarnya yang berjaya mendapat CGPA 3.1 walaupun memegang beberapa jawatan penting universiti.

Sepanjang pengajian di UMT, Mazzaid yang kini berkhidmat di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya pernah menyandang beberapa jawatan antaranya sebagai Timbalan Pengarah Program Intergrasi 1Malaysia Kepimpinan Pelajar di Korea Selatan, Sekretariat Majlis Perwaklian Pelajar UMT Sesi 2010/2011, Timbalan Presiden 1 Kelab Pengurusan Kaunseling (PEKA) Sesi 2010/2011 serta Exco Latihan dan Perhubungan Korporat Kelab Gemersik.