Halaman

21 October 2013

Enam bahagian di Terengganu dapat muka baru

Oleh: Suriati Ali 

Enam daripada lapan bahagian UMNO menyaksikan perubahan kepimpinan iaitu di Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun setelah penyandangnya tewas manakala di Kuala Terengganu dan Marang, laluan diberikan lebih awal kepada muka-muka baru yang menawarkan diri.

 Hanya dua penyandang berjaya mempertahankan jawatan itu, Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Dato’ Mohd Jidin Shafee di Setiu manakala di Besut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad mendapat tempat lebih awal tanpa dicabar.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengekalkan jawatan setelah menewaskan pencabarnya, bekas Pengerusi Tetap UMNO Kemaman, Mat Dalam Awang manakala Mohd Jidin ternyata turut sukar disaingi oleh veteran UMNO yang berpengaruh suatu ketika dulu, Datuk Mamat Ghazali Abdul Rahman.

Kejutan berlaku di Hulu Terengganu apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari yang baru menapak dalam parti setelah memenangi kerusi Parlimen, diberi keprcayaan dengan mengalahkan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

 Dato’ Tengku Putera yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri telah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu sejak 1995.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Nerus, perwakilan mengangkat Adun Seberang Takir, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (calon tunggal Barisan Nasional yang menang) sebagai ketua yang baru dalam persaingan sengit empat penjuru.

Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri yang gagal mempertahankan jawatan berada di tempat ketiga manakala bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said di tempat kedua.

Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang merupakan bekas Exco pula gagal mempertahankan jawatan di Marang apabila ditewaskan oleh anak saudaranya sendiri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri YB A. Latiff Awang.

YB A. Latiff yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan juga merupakan calon tunggal Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Di Dungun, percubaan kali kedua oleh bekas ADUN Bukit Besi, Dato’ Din Adam yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berjaya menewaskan Dato’ Dr. Rosli Mat Hassan.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Terengganu pula, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi menang kerusi yang dikosongkan oleh Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh setelah menewaskan seorang jutera perunding, Johari Awang.