Halaman

22 October 2013

Empat pulih tiga kampung terpilih untuk dihakimi pertandingan kebersihan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri giat mengatur pelbagai inisiatif untuk memastikan kesedaran sivik menjaga kebersihan dan memulihara persekitaran di kalangan komuniti sentiasa meningkat termasuk menganjurkan pertandingan kebersihan di semua peringkat dan agensi.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.3 juta menjayakan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung peringkat negeri 2013/2014.
Terbaru, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjayakan program Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2013/2014.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said,berkata program itu merupakan satu acara induk dalam Program Kebersihan Negeri yang membabitkan semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh Terengganu, pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Program ini bermula dari penghakiman di setiap daerah dan diakhiri dengan penialian di peringkat negeri pada Mac lalu oleh panel hakim yang dilantik dari pelbagai jabatan teknikal yang berkaitan.

 “Daripada kira-kira 900 kampung, 43 daripadanya di seluruh daerah berjaya terpilih bagi dihakimi di peringkat negeri yang terbahagi kepada dua kategori utama, Kategori Dalam Kawasan Operasi dan Kategori Luar Kawasan Operasi,” katanya ketika berucap di Majlis Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2013/2014, di Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat, Marang, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

Menteri Besar berkata, sambutan daripada peserta pertandingan khususnya JKKK amat memberangsangkan untuk merealisasikan hasrat menjadikan kampung bersih, indah, cantik dan menarik.

Selain tempat pertama hingga ketiga bagi kedua-dua kategori berkenaan, pihaknya juga menyediakan hadiah kepada pemenang bagi kategori plain termasuk Kebersihan Persekitaran Kebersihan Infrastruktur, Keceriaan Lanskap, Kawalan Haiwan dan Vektor, Ekonomi, Kepimpinan dan Kerohanian dan Sivik.

“Menerusi pertandingan ini, kita berharap penduduk kampung lebih peka dan berusaha untuk memperindahkan dan mencantikkan kampung masing-masing supaya dapat mengetengahkan kelebihan yang ada itu untuk meraih kemenangan.

 “Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengetengahkan produk di kampung masing-masing supaya bukan sahaja menarik pelancong ke tempat mereka, malah meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.