Halaman

10 October 2013

Bina jati diri melalui seni dan budaya

Oleh: Matura Jamaluddin 

Bdaya masyarakat Melayu yang dijunjung menandakan jati diri bangsa dan sekiranya tidak dijaga serta disuburkan, maka tidak mustahil satu saat nanti khazanah kesenian bangsa akan tenggelam akibat sikap manusia itu sendiri.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berkata demikian ketika merasmikan Malam Bahasa Jiwa Bangsa peringkat negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Program tersebut bertujuan menyatukan semua sasterawan, penggiat seni, budayawan, para pelajardan ahli politik tanpa mengira agama dan bangsa untuk bersatu suara dalam melahirkan perpaduan antara kaum dan semangat cintakan bahasa dan sastera kebangsaan.

Beliau berkata, Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan melalui pendeklamasian puisi, persembahan budaya dan tradisional, nyanyian lagu puisi, sketsa dan lain-lain lagi yang merupakan satu seni budaya tempatan yang cukup berharga untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Memupuk kecintaan terhadap seni dan budaya merupakan satu usaha murni yang seharusnya dilaksanakan secara berterusan oleh generasi hari ini dalam membina jati diri seseorang, terutama generasi muda yang kian di hambat oleh budaya asing dalam era teknologi dan dunia tanpa sempadan,” katanya.

Majlis berkenaan turut diselit dengan persembahan budaya Hulu Terengganu seperti Tarian Balai dan ‘Coral Speaking” dialek hulu yang berjaya menarik perhatian orang ramai.