Halaman

29 October 2013

70,000 pelajar ikuti KAFA

Oleh: Suriati Ali 

Kira-kira 70,000 pelajar sekolah rendah di negeri ini sedang mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sebagai langkah mendidik mereka mendalami ilmu al-Quran dan perkara asas berkaitan fardu ain.

Program KAFA yang diselia Yayasan Terengganu (YT) dibimbing 3,200 guru bertauliah membabitkan kira-kira 3,000 kelas, termasuk surau, balai raya dan bangunan persendirian.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pelajar berusia antara lapan hingga 12 tahun yang mengikuti program itu akan dibimbing mengikut garis panduan supaya mampu menguasai Al-Quran dan memahami serta mengamal perkara asas fardu ain.

“Apa yang membanggakan pencapaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) sentiasa meningkat, hampir setiap tahun.

“Bagi tahun 2012 terdapat seramai 189,590 orang calon UPKK Terengganu dan seramai 181,631 calon lulus (99.99%),” katanya.

Katanya, Terengganu juga memperoleh pencapaian terbaik di mana mendapat tempat kedua jumlah murid yang mendapat 8A (seramai 3,784 orang) dan tempat ketiga UPKK dengan Gred purata sekolah (GPS) 1.64.

“Mendahului Gred Purata Sekolah (GPS) adalah Negeri Selangor dengan GPS 1.55, diikuti Melaka GPS 1.59. “UPKK menjadi kriteria utama yang diambil kira bersama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), untuk kemasukan pelajar-pelajar ke Sekolah Menengah Agama Negeri-Negeri dan Persekutuan, ke tingkatan satu.

 “Perkara ini secara tidak langsung telah mendorong dan memberi motivasi bagi murid-murid untuk mengikuti kelas KAFA,” katanya.