Halaman

22 October 2013

260 peserta sertai program tinjuan aspirasi masyarakat untuk kajian semula PSPTN di UMT

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Hafizuddin Mat Tahar, Mohd Syazni Zainudin (pelatih) 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Tinjauan Aspirasi Masyarakat Untuk Kajian Semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) di Auditorium Mahayuddin, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UMT, hari ini.

Seramai 260 peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), MRSM Wakaf Tengah serta Intitut Pengajian Tinggi Kampus Dato’ Razali Ismail menyertai program yangdikendalikan dua moderator sebagai pengantara dalam memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas mengenai sistem pengajian tinggi negara.

Moderator program, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dari Universiti Malaysia Perlis berkata, program tinjauan aspirasi masyarakat itu bertujuan menilai semula dan menyemak PSPTN setelah genap enam tahun dilancar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kajian semula PSPTN bertujuan menambahbaik dan menyusun inisiatif baharu yang berimpak tinggi mengikut keperluan semasa dan akan datang, keberhasilan yang lebih jelas dan berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjak lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

“Hasil kajian diharap dapat menghasilkan pelan strategik yang mampu menjana arus transformasi yang lebih besar untuk negara yang mana ia benar-benar dapat melonjakkan kualiti modal insan dan meletakan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan dengan jenama yang tersendiri,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena program tersebut.

Katanya, PSPTN dirangka dengan menggariskan tujuh tersa utama iaitu, meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasa institusi pengajian tinggi, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuh sistem penyampaian kementerian.