Halaman

11 October 2013

102 PELAJAR SMKAKA TERIMA SIJIL TAMAT PERSEKOLAHAN

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Seramai 102 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) di sini menerima Sijil Tamat Persekolahan pada Majlis Graduasi yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Daripada jumlah itu seramai 65 pelajar perempuan dan 37 pelajar lelaki menerima sijil tersebut daripada Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Che Mohd Yusri Che Muda sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Semasa berucap pada majlis perasmian, Che Mohd. Yusri mengingatkan kepada para pelajar apabila mereka mendapat tawaran belajar ke peringkat universiti atau mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kelak, mereka hendaklah menunjukkan tauladan serta tingkah laku yang baik sejajar dengan didikan yang mereka perolehi semasa di SMKAKA.

“Di SMKAKA ini kita dapati ramai pelajar lelaki dan perempuan yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk bidang pelajaran, aktiviti sukan, pembuatan kapal terbang dan sebagainya dan saya amat berharap agar mereka menjadi ikutan atau “role model” kepada generasi selepas mereka.


Di samping itu, mereka bukan sahaja mendapat didikan secara ilmiah malahan turut ditekankan adalah mata pelajaran sains dan teknologi yang berteraskan konsep Islam yang syumul,” katanya

 Che Mohd. Yusri seterusnya berkata, beliau yakin ramai di kalangan pelajar SMKAKA akan mendapati cemerlang pada keputusan peperiksaan SPM nanti sekali gus ditawarkan memasuki IPTA sama ada di dalam atau di luar Negara.


Jelasnya, bermula dari situ hasrat kerajaan untuk melahirkan garaduan yang berpendidikan serta berpengetahuan dalam bidang Sains dan Teknologi Islam dapat direalisasikan.