Halaman

27 September 2013

YB Iskandar mahu tarik belia sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar, yang baru disahkan sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Setiu, berazam untuk menarik golongan muda di daerah Setiu agar menyokong Umno, sekaligus menguatkan lagi kedudukan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Beliau menyifatkan pemilihannya untuk menerajui pergerakan Pemuda Bahagian itu merupakan cabaran besar bagi menarik golongan muda yang terdiri daripada hampir separuh pengundi di Setiu.

Pada pilihan raya umum lalu, BN memenangi keempat-empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Setiu, termasuk DUN Jabi yang ditandingi oleh YB Iskandar yang juga muka baru.

Bagaimanapun, berdasarkan keputusan pilihan raya lalu sokongan daripada generasi muda kepada calon-calon BN agak merosot dan Ketua Pemuda Umno Bahagian yang baru itu bertekad untuk meraih sokongan mereka sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

YB Mohd Iskandar menang jawatan tersebut selepas beliau menjadi calon tunggal untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan Umno kali ini. Beliau amat berharap akan mendapat kerjasama daripada pengurusan Umno bahagian dan sayap-sayap Umno bahagian berkenaan bagi menjayakan misi tersebut.

“Saya harap dengan gandingan mantap pemimpin bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri, kita dapat meraih sokongan generasi muda bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi laluan kepadanya untuk menduduki jawatan berkenaan tanpa bertanding.

“Saya akan bekerja keras mulai sekarang bagi menguatkan kedudukan Umno dan BN sebagai membalas kepercayaan pemimpin dan ahli Umno bahagian Setiu kepada saya untuk menerajui pergerakan Pemuda,” katanya.