Halaman

15 September 2013

AURA TDM BERHAD KEPADA NEGERI TERENGGANU




TDM Berhad disarankan supaya memikirkan cara-cara bagaimana hendak melibatkan tenaga tempatan, termasuk generasi belia untuk menceburi bidang perladangan bagi semua tahap pekerjaan dari peringkat pegawai sehinggalah kepada pekerja biasa.
  Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn.Bhd (Terengganu Inc), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, suatu plan perancangan amat perlu untuk memastikan tidak selamanya kita bergantung kepada tenaga kerja asing.
 Beliau berkata demikian kepada Teganukita dalam sesi soal jawab sempena lawatan kerja beliau ke beberapa buah ladang sawit di sekitar Sungai Tong dan juga kilang sawit (Sungai Tong Palm Oil Mill) Khamis baru-baru ini.
  Katanya, suatu masa dulu penglibatan tenaga belia tempatan dalam sektor ini amat ketara melalui pendekatan program belia pelopor negara.
 Program Belia Pelopor Negara terkenal awal tahun 70 an dan 80 an, melatih para belia dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk pertanian, perusahaan dan peladangan berteraskan semangat patriotik di bawah Kementerian Belia.
  Difahamkan di Malaysia sehingga ini seramai lebih kurang 300, 000 pekerja asing bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Terlebih dahulu Dato’ Haji Wan Ahamad diberikan taklimat Operasi dan Pengurusan TDM Berhad oleh Ketua Pengawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari dan TDM Plantation Sdn.Bhd oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Abd Halim Mohd Yusof bertempat di Rumah Tetamu Sungai Tong Complex.
 Hadir sama, Pengerusi TDM, Dato’ Haji Roslan Awang Chik dan Ketua Pegawai Kewangan TDM Berhad Amir Mohd Hafiz Mohd Khalid.
 Dato’ Haji Wan Ahamad juga menyarankan supaya TDM akan lebih aktif lagi membantu masyarakat dalam pelbagai aspek kebajikan dan sosial selaras dengan pendekatan Terengganu Inc bagi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Terengganu terpelihara.
  Ini bertepatan dengan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
  Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc (TI) itu memuji pencapaian TDM Berhad yang sungguh cemerlang, yang merupakan di antara penyumbang kepada pencapaian TI bersama-sama syarikat-syarikat kerajaan yang lain.
 Sesungguhnya sumbangan dan aura TDM Berhad kepada negeri dan rakyat Terengganu, bahkan Malaysia amatlah hebat dengan sektor perladangan (Plantation) dan juga perkhidmatan hospital atau pusat perubatan pakar (Healthcare).
 Malah kini perladangannya (ladang sawit) melangkah hingga ke luar negara.


Oleh: Ruslan Abdul Rahman.