Halaman

28 September 2013

Sultan Mizan titah jawatankuasa masjid berdikari urus masjid

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menintahkan agar jawatankuasa masjid di seluruh negeri ini tidak hanya bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau kerajaan semata-mata dalam urusan pentadbiran institusi berkenaan.

Sebaliknya, baginda mengingatkan bahawa mereka telah diberi kepercayaan oleh Maidam untuk mengurus tadbir masjid dalam segenap aspek pengurusan mengikut landasan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, baginda meminta jawatankuasa masjid menggunakan wang sumbangan orang ramai yang dihulurkan melalui tabung masjid untuk kegunaan rumah ibadat berkenaan dan program pengimarahannya.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Masjid As-Saalikin Sungai Udang, Dungun, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pembesar negeri.

Masjid As-Saalikin yang berharga RM3.938 juta mula dibina di atas tanah kerajaan seluas 3.5 ekar pada tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada tahun 2010.

Masjid yang dibina bagi menggantikan masjid asal yang diperbuat daripada kayu cenggal itu mampu menampung 1,500 jemaah dan memberi keselesan kepada jemaah di sekitar kawasan tersebut.