Halaman

17 September 2013

PSKT di Chendering bakal beroperasi 2015

Oleh: Noraini Jusoh

Kerja-kerja pembinaan bangunan baru Pusat Sains Kuala Terengganu (PSKT) yang terletak di Kampung Bukit, Mukim Chendering hanya tinggal 30 peratus yang belum selesai dan dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, disebabkan beberapa masalah teknikal, pembinaan pusat sains yang bermula 2006 berkenaan terpaksa ditangguhkan, sehingga kerajaan negeri kini memutuskan meneruskan kembali projek tersebut.

“Sekarang ini, PSKT di Chendering telah siap 70 peratus dan 30 peratus lagi sedang ditender. Untuk tender baru dijangka kosnya dalam RM43 juta.

“Ia dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada 2015 kerana pada tahun depan (2014) kita akan fokus kepada pengisian iaitu bahan-bahan yang akan ditempatkan di pusat sains yang bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi Pusat Sains Kreativiti Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Katanya, apabila siap sepenuhnya nanti, PSKT di Chendering akan menjadi pusat sains yang terbesar sekali di Malaysia dengan keluasan keseluruhannya kira-kira 60 hektar.

“Kerajaan negeri amat serius dalam melahirkan saintis dari kalangan rakyat negeri ini yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh dan berhasrat menjadikan pusat sains itu nanti sebagai pusat kajian atau penyelidikan sains yang berkonsepkan Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, impian tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana Terengganu mempunyai pelajar daripada sekolah Imtiaz yang merupakan penghafaz 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam akademik yang boleh menyumbang bakti kepada kerajaan negeri suatu hari nanti,” ujarnya.