Halaman

13 September 2013

PM kagum semangat juang rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar: Harish Fadzillah

 Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak kagum dengan semangat juang dan cintakan keamanan yang ditunjukkan oleh rakyat Terengganu, khususnya, Mohd Noor Mat, yang bersemangat bagi menjayakan misi “Walk For Malaysia” (Walk4Malaysia).

“Program ini mencerminkan semangat juang yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia yang juga cintakan keamanan,” katanya dalam teks ucapan ketika melancarkan Program Walk4Malaysia di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

 Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
 



Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

 Perdana Menteri berkata, program Walk4Malaysia yang diinisiatifkan Kerajaan Terengganu ini patut dicontohi bagi menunjukkan semangata cintakan Negara dan kerajaan sedia ada.

“Program berjalan kaki seperti ini juga patut digalakkan di tempat kerja bagi menjadikan budaya sihat di kalangan rakyat,” ujar beliau.



 Pada majlis itu, YB Khary Jamaluddin bagi pihak Perdana Menteri menyerahkan Jalur Gemilang kepada Mohd Noor sebagai gimik pelancaran bagi memulakan misi tersebut mulai 22 September hingga 4 Oktober. 

Mohd Noor yang turut diiringi pejalan kaki lain akan bertolak dari Dataran Kuala Besut dan berjalan kaki ke Putrajaya bagi menunaikan nazarnya untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya kecil Kuala Besut, baru-baru ini.

 Beliau pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam masa empat hari dari Kemaman ke Besut pada tahun 2008.