Halaman

27 September 2013

PLBT hantar pelumba Sukma ke China

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menghantar lima pelumba skuad Sukan Malaysia (Sukma) 2014 ke Kejohanan Terbuka Jing Jin, Tianjin, China, dari 24 hingga 28 Okt ini.

 Ketua jurulatih Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata penghantaran pelumba skuad Sukma 2014 ke kejohanan itu merupakan langkah terbaik untuk mereka menimba pengalaman.

 "Kami tidak meletakkan sasaran pada kejohanan itu memandangkan kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian adalah pasukan bertaraf dunia," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata PLBT akan menyenaraikan antara 22 dan 24 pelumba termasuk empat pelumba wanita bagi menghadapi tiga kejohanan tempatan bulan depan.

 Menurutnya tiga kejohanan tersebut adalah Kejohanan Kriterium Sepang pada 6 Okt ini, Kejohanan Lumba Basikal Remaja (Lebuhraya) S2/2013 SportExcel-MSN-Milo di Mersing, Johor (11-13 Okt) dan Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Sirkit 4 di Negeri Sembilan pada 24 hingga 28 Okt ini.