Halaman

10 September 2013

Pembangunan Hulu Terengganu untuk rakyat disegerakan

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan sedang merancang beberapa program pembangunan bagi daerah Hulu Terengganu sebaik siapnya Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang menghubungkan Kuantan ke Kuala Terengganu, tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, jika lebuh raya itu siap mengikut jadual, projek-projek tertangguh seperti pusat penjaja buah-buahan di Kampung Gaung akan dibangunkan dengan segera.

 "Kita yakin dengan siapnya lebuh raya itu, orang ramai terutamanya pelancong ke Tasik Kenyir akan tertumpu kepada Hulu Terengganu kerana ia berada di laluan lebuh raya berkenaan,” katanya kepada Teganukita, semalam .

Beliau berkata, projek LPT2 akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan selain menambah pendapatan sampingan melalui peluang perniagaan yang akan wujud.

 "Kita juga akan lihat balik pusat pendidikan yang tertangguh seperti politeknik di sini yang terbengkalai.Tidak lupa pada kepada Pekan Ajil,kita akan menyusun kembali rangkaian perniagaan dengan lebih teratur dan sempurna." katanya.