Halaman

09 September 2013

PB Square bakal beroperasi pertengahan tahun depan

Oleh: Suriati Ali

 Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di jangka mula beroperasi pertengahan tahun depan.

Pengurus Besar PMINT, Dato' Osman Muda berkata, PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat kini sudah lebih 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

 Katanya, kerja-kerja pembinaan bangunan itu sudah memasuki fasa akhir dan permohonan untuk sewaan lot perniagaan masih dibuka kepada orang ramai walaupun sudah menerima 450 permohonan daripada peniaga tempatan dan francais.

“Semua permohonan yang disenarai pendek akan dipanggil temuduga bagi memastikan mereka yang benar-benar layak boleh berurusniaga.

“PB Square merupakan projek yang mempunyai reka bentuk warisan tradisional Terengganu mempunyai tiga komponen utama iaitu pejabat akan disewakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN), kompleks membeli belah yang akan diuruskan badan pengurusan, manakala hotel pula dijual kepada peniaga yang berjaya," katanya.

Dato' Osman berkata, PB Square mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, kolam renang, bilik seminar, gymnasium, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

“Langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya. ," katanya kepada Teganukita.