Halaman

10 September 2013

P1MPIN lindungi 37,048 peniaga berdaftar seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 37,048 penjaja dan peniaga kecil seluruh Terengganu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapat perlindungan insurans sejak 1 Januari lalu.

Perlindungan insurans berkelompok dinamakan Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) ditawarkan secara percuma kepada yang layak sebaik sahaja mendaftarkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud, berkata di Kuala Terengganu sahaja umpamanya, seramai 12,000 penjaja yang mewakili 32 peratus peniaga seluruh Terengganu mendapat perlindungan sepanjang 24 jam 365 hari di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, di Terengganu dan Kuala Terengganu amnya, saya percaya masih ada lagi penjaja yang belum mendaftarkan perniagaan mereka.

 “Oleh itu, peniaga yang belum mendaftar diseru segara berbuat demikian di samping berpeluang merebut setiap insiatif yang ditawarkan oleh pihak kerajaan khas kepada golongan penjaja dan peniaga kecil,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

YB Roslee berkata, bukan hanya perlindungan insurans, kementerian juga menawarkan skim pembiayaan mikro tanpa faedah kepada penjaja dan peniaga kecil memajukan perniagan mereka.

Sehingga 23 Ogos lalu, sebanyak 1,445 permohonan dari Terengganu daripada keseluruhan 27,228 permohonan seluruh negara.

 “Daripada jumlah itu, seramai 998 permohonan (69 peratus) telah menerima skim pembiayaan mikro dengan jumlah keseluruhan RM4.5 juta,” katanya.