Halaman

26 September 2013

Mohd Noor sudah harungi 260 km

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Hafizuddin Taha (Pelatih)

Masih berbaki tujuh hari dan tujuh lokasi yang perlu dijelajah peserta utama , Mohd Noor Mat Program Walk For Malaysia(Walk4Malaysia) bagi mencapai hasrat tiba di Putrajaya, pada 4 Oktober ini.

 Mohd Noor diiringi lebih 50 peserta lain, terdiri atlet Sukan Malaysia (Sukma); Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) sudah menamatkan misi berjalan kaki sejauh kira-kira 260 kilometer (km) daripada jumlah 600 km yang disasarkan.

 Hari ini, Peserta Walk4Malaysia meneruskan misi untuk ‘menawan’ Putrajaya dengan berjalan kaki sejauh 53.9 kilometer ini menuju ke Chukai, Kemaman.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pegawai Yayasan Islam Terengganu Daerah Dungun, Ustaz Firdaus Khairi kira-kira jam 8.45 pagi tadi di Dewan Sivik Paka, Dungun.

Pengerusi Pengelola Walk4Malaysia, Saiful Bahri Baharuddin berkata, Walk4Malaysia akan memasuki Pahang, esok (27 September) dengan jarak perjalanan sejauh 44 km selama 8 jam 40 minit menuju ke Hentian Sebelah Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur.

“Bermula hari ketujuh, Walk4Malaysia akan berada selama lima hari di Lebuh Raya Pantai Timur. “Bermula di Hentian Sebelah Kuantan, perjalanan diteruskan ke R&R Gambang, Hentian Sebelah Maran, Hentian R&R Temerloh, Hentian Sebelah Lanchang dan ke R&R Genting Sempah,” jelasnya.

 Beliau memberitahu, cabaran hari ke-12 Walk4Malaysia akan bermula di R&R Genting Sempah, Pahang ke Stadium Bukit Jalil sejauh 47 km selama hampir 9 jam.

“Hari terakhir pada 4 Oktober, dari Stadium Bukit Jalil perjalanansejauh 20.9 kilometer diteruskan ke Masjid Putra, Putrajaya dengan anggaran masa perjalanan 4 jam 15 minit,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Terengganu.