Halaman

24 September 2013

Lapan tokoh tersohor khat bakal kongsi ilmu di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lapan tokoh tersohor khat dari seluruh dunia bakal berkongsi ilmu dan pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang ilmu kaligrafi di Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) yang dijadualkan berlangsung di Taman Tamandun Islam (TTI) selama tiga hari bermula 15 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Haji Zubir Embong (gambar) berkata, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu, Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan untuk menjadi juri bagi pertandingan seni khat sempena festival berkenaan.
 
“Adnan Sheikh Osman dari Syiria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) serta Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri.

“Selain itu, Dr. Halit Eren selaku ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Cuture (IRCICA) Istanbul, Turki juga akan hadir ke festival itu nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena 'Terengganu International Islamic Arts Festival' (TIIAF 2013) di Restoran B'Benteng, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat untuk peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang akan disertai oleh pengiat kaligrafi yang berpengalaman dan pakar kaligrafi dari dalam dan luar negara.

“Pertandingan diperingkat kebangsaan diadakan dalam beberapa kategori seperti kanvas, kayu dan logam. Bersempena dengan festival tersebut juga, seminar dan bengkel akan diadakan dan bakal dikendali serta dipimpin oleh penulis khat terkenal dunia,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula tahun ini, diadakan juga batikhat iaitu corak batik yang bermotifkan khat bagi melengkapkan festival ini untuk menggambarkan kepelbagaian produk berasaskan kaligrafi.

Katanya, bersempena dengan TIIAF 2013 juga, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta acara sukan rakyat untuk penduduk tempatan.

“Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal yang berkonsepkan zikir akan dialunkan dengan peralatan muzik tradisional turut dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir disamping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih,” katanya.

Tambah beliau, pihak penganjur iaitu TTI Management Sdn Bhd berharap dengan sokongan berterusan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu akan membawa program tersebut lebih jauh lagi pada masa akan datang.

“Pertandingan kaligrafi peringkat antarabangsa yang dahulunya terhad kepada peserta rantau asia kini dibuka kepada peserta seluruh dunia. Hasil daripada penganjuran ini, diharap Terengganu akan menjadi terkenal sebagai salah satu pusat perkembangan seni Islam di dunia,” ujarnya.