Halaman

11 September 2013

Iskandar "wakaf" keretanya untuk penduduk.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Iskandar (kiri) ketika menerima kunjungan dua pegawai tinggi Bomba di pejabatnya.
  AHLI Dewan Undangan (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar menjadikan sebuah kenderaan miliknya sebagai “Wakaf”, apabila beliau meletakan kenderaanya di pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk kemudahan penduduk di sekitar kawasanya.

Iskandar berkata, sebagai seorang wakil rakyat dia mahukan setiap rakyat di kawasanya mendapat kemudahan kerana itulah dia mengambil keputusan menjadikan sebuah kenderaannya sebagai “wakaf” untuk digunakan waktu kecemasan atau keperluan lain oleh masyarakat setempat.

“Tidak semua penduduk di Dun ini memiliki kereta kerana itulah saya memikirkan adalah perlu kenderaan saya itu digunakan untuk membantu penduduk untuk beberapa urusan termasuklah kecemasan. Sesiapa sahaja boleh guna kereta itu asalkan untuk kebaikan. Kenderaan ini juga digunakan untuk urusan pejabat Dun,” katanya.

Iskandar yang dikenali penduduk sebagai wakil rakyat baru yang mesra rakyat, mengakui masanya terlalu suntuk sejak menjawat jawatan wakil rakyat malah dia mengakui adakalanya dia tidak cukup tidur kerana sibuk dengan tugas.

“Saya tidak berpeluang untuk berehat, masa saya sentiasa penuh tetapi saya gembira dengan tugas ini. Jika berpeluang untuk berehat ialah ketika saya ada urusan di luar kawasan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Iskandar, Hazali Mat berkata, antara agenda utama Iskandar ialah mempastikan taraf pendidikan di kawasanya dapat terus dipertingkatkan serta membantu semua golongan masyarakat dapat menikmati hidup yang lebih sempurna.