Halaman

09 September 2013

Buat aduan segera jika caj makanan melampau

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai dinasihatkan segera membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika mendapati peniaga mengenakan caj makanan dan minuman yang terlalu tinggi dan tidak berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud, meminta kerjasama orang ramai segera bertindak demikian supaya pemantauan dan tindakan dapat dilakukan segera bagi mengelak peniaga menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“KPDNKK akan mengeluarkan notis kepada peniaga terbabit supaya menjelaskan sebab kenaikan harga berkenaan dan memberi tempoh 14 hari kepada peniaga mengemukakan penjelasan kenapa harga dinaikkan.

“Sekiranya penjelasan itu tidak dapat diterima dan tidak munasabah, peniaga terbabit boleh dikompaun minima RM100,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan Kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 Peringkat Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesan kenaikan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen sejak beberapa hari lalu lalu yang mungkin mengundang kepada kenaikan harga barangan lain khususnya makanan dan minuman di seluruh Terengganu.

YB Roslee turut menyarankan supaya orang ramai berani untuk tampil melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa supaya setiap masalah berkenaan dapat ditangani segera.

Katanya, orang ramai juga perlu bijak menilai dan membandingkan harga barangan di setiap premis perniagaan sekali gus memboikot kedai yang menawarkan harga tidak berpatutan kepada pelanggan.

“Kita sarankan kepada rakyat supaya bijak menilai dan memilih premis yang menawarkan harga lebih murah bersesuaian dengan keperluan semasa mereka.

“Usaha itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan sewenang-wenangnya untuk mencari keuntungan lebih cepat,” katanya.

Untuk rekod, KPDNKK boleh mengenakan kompaun minimum antara RM300 hingga RM500 terhadap peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum, manakala kompaun maksimum boleh dikenakan sehingga RM50,000.

Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga merah jambu boleh dikenakan kompaun minimum RM100 hingga RM300, manakala kompaun maksimum boleh dikenakan sehingga RM5,000 kerana kesalahan tersebut.

Kompaun maksimum RM25,000 pula boleh dikenakan ke atas peniaga yang gagal meletakkan tanda harga.