Halaman

04 August 2013

Terengganu harap anak didik kembali berbakti

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri mengharapkan pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di luar negara menerusi tajaan Yayasan Terengganu, kembali berkhidmat di Terengganu bagi menangani masalah kekurangan doktor.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata masalah kekurangan doktor di Terengganu agak kritikal dengan nisbah seorang doktor untuk 1,400 pesakit.

 "Angka ini jauh lebih tinggi berbanding negeri lain termasuk Sabah dan Kelantan," katanya pada majlis penutup kuliah khas pembelajaran klinikal yang disertai 160 pelajar perubatan tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang mengikuti pengajian di Mesir, Jordan dan Rusia.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar. Kursus empat hari bermula 29 Julai itu diselia oleh doktor pakar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah dan membabitkan pelajar tahun empat dan lima Menurut Ghazali sejak 2007 hingga sekarang, kerajaan negeri menerusi YT membelanjakan lebih RM25 juta menaja 450 pelajar perubatan di luar negara.

 YB Ghazali berkata, mengenai kursus klinikal itu, kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang menganjurkan program tersebut yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkenaan prosedur klinikal ke atas pesakit.

 "Kita dapati sistem pengajian perubatan di luar negara agak berbeza dengan universiti di sini kerana mereka tidak didedahkan dengan prosedur klinikal kepada pelajar ,” katanya.

 YB Ghazali turut berpesan supaya anak didik itu tidak lupa jasa kerajaan Terengganu yang sanggup mengeluarkan belanja besar semata-mata mahu mereka berbakti balik kepada keluarga dan negara bukannya bertindak melulu menghentam apabila sudah berjaya.

“Jika perkara itu berlaku, ia cukup dikesali kerana bukan saja memburukkan imej Terengganu serta negara, malah boleh berdepan dengan sebarang kemungkinan dan tindakan,” katanya.