Halaman

29 August 2013

Sedia RM3.67 juta untuk pelajar peringkat ijazah

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.6 juta kepada 3,677 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara peringkat ijazah bagi kemasukan pertama tahun ini.

Sebahagian daripada pelajar yang menerima bantuan persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT daripada kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu.
Berdasarkan bilangan itu, setiap pelajar layak menerima wang tunai RM1,000,, sebagai langkah meringankan bebanan kewangan ibu bapa, selain melahirkan modal insan serba boleh pada masa akan datang.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan serius dan sentiasa memberi fokus untuk menjadikan pendidikan sebagai satu landasan melahirkan modal insan yang serba boleh. “Pelajar hari ini merupakan penyumbang utama dalam menentukan masa depan negara dan kerajaan akan melakukan apa saja untuk menjana kejayaan mereka.


“Kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat khusus untuk melanjutkan pelajar ke mana-mana IPT dan sedia mengeluarkan berapa banyak belanja pun asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bantuan Persediaan Pelajaran, di Stadium Tertutup, Komples Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM17.3 juta bagi bantuan persediaan pembelajaran yang membabitkan 22,851 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke asrama penuh serta pengajian peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah.



Jumlah itu termasuk pembiayaan bagi pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah dalam dan luar negara. Daripada jumlah itu 8,836 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dengan peruntukan RM8.7 juta dan peringkat diploma (6,876 orang) membabitkan kos RM5.6 juta.

 Terdapat 2,966 pelajar mengikuti matrikulasi dengan kos RM1.5 juta, sijil (1,865 orang) RM816 ribu dan Sekolah Berasrama Penuh pula seramai 2,269 orang membabitkan perbelanjaan RM1.2 juta..

 Setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam negeri menerima RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) diploma (RM750) dan matrikulasi, sijil dan SBP (RM500) manakala ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.

 Sejak bantuan itu diperkenalkan pada 2006 kerajaan telah membelanjakan RM105.6 juta membabitkan 145,079 pelajar anak tempatan.

 Seramai 21,880 pelajar terima bantuan itu pada 2006 membabitkan peruntukan RM15.5 juta; 22,513 orang (2007) RM15.8 juta; 22,813 orang (2008) RM16.1 juta, 26,205 orang (2009) RM19.7 juta, 26,801 orang (2010) RM20.034 juta, 24,867 orang (2011) RM18.4 juta dan 22,851 orang dengan peruntukan 17.3 juta.