Halaman

02 August 2013

Satu tidak kaut untung

Oleh: Suriati Ali 

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menyatakan pihak itu mementingkan keuntungan dengan mengenakan caj komisen kepada pengguna yang membuat bayaran bil.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husain Embong, berkata apa yang diperkatakan itu tidak benar sama sekali, kerana sebaliknya caj komisen RM0.70 seperti yang didakwa itu sebenarnya dibuat oleh bank-bank komersial atau agensi kutipan luar mulai Jun lalu.

 “Perkhidmatan yang mereka berikan dengan kadar yang berbeza-beza dan Satu tidak mengambil satu sen pun daripada caj berkenaan.enanggung kos yang terus meningkat.

"Satu tidak membuat keuntungan daripada caj itu, bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah penggunaan air sebagaimana yang dibilkan kepada pengguna.

Satu tidak dan jauh sekali daripada bertujuan membuat keuntungan mudah dalam hal ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya.

 "Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan sama ada membuat bayaran di agensi kutipan luar dan dikenakan caj oleh agensi berkenaan atau berurusan di kaunter Satu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Telekom Malaysia (TM) dan tidak dikenakan caj," jelas beliau dalam kenyataan di sini.

 Menurut beliau, caj perkhidmatan oleh agensi kutipan luar telah dikenakan sejak penubuhan Satu lagi dan pihaknya yang menanggung caj tersebut dengan membuat bayaran kepada pihak berkenaan mengikut bilangan bil air yang dikendalikan.

 Beliau menarik perhatian sebagai contoh, Pos Malaysia telah menaikkan caj komisen daripada 50 sen kepada 70 sen pada tahun ini manakala sebahagian bank telah memohon menaikkan kadar yang tidak dipersetujui Satu kerana akan membebankan pengguna.

 "Pada setiap tahun, Satu berbelanja lebih RM500,000 bagi tujuan ini dan jumlahnya semakin besar mengikut bilangan bil yang dibayar oleh pengguna di agensi-agensi berkaitan. Satu tidak mampu lagi menanggung caj perkhidmatan ini," ujarnya.

 Sehubungan itu juga katanya, Satu telah menamatkan khidmat beberapa agensi kutipan luar termasuklah bank komersial kerana mengenakan kadar caj perkhidmatan yang lebih tinggi, sekali gus akan membebankan pengguna.

 "Satu meletakkan syarat jika bank-bank komersial berhasrat menjadi ejen kutipan bil Satu, mereka hendaklah mengekalkan kadar caj komisen sedia ada dan perlu membuat pengubahsuaian pada sistem kutipan mereka,'' katanya.

 Namun demikian katanya, ada sebahagian bank telah memohon untuk menaikkan kadar caj komisen dan pihak Satu tidak bersetuju kerana akan membebankan pengguna.

 "Keadaan itu menyebabkan sebahagian bank telah menggantung urusan penerimaan bayaran bil Satu.

"Namun bank seperti CIMB Bank, Bank Islam, AgroBank, Bank Rakyat dan RHB Bank masih menerima bayaran bil Satu sama ada di kaunter mereka atau melalui perbankan internet.

 "Pihak Satu masih meneruskan rundingan dengan bank-bank lain untuk menambahkan kemudahan kepada pengguna dan akan memastikan caj komisen yang dikenakan oleh bank terlibat berada pada tahap minimum dan munasabah bagi menjaga kepentingan pengguna, selain memulakan kaunter kutipan bergerak,” katanya.