Halaman

30 August 2013

Rombongan Huaxicun China terpukau keindahan Tasik Kenyir

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Terengganu telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Huaxicun, China yang mengunjungi negeri ini selama lima hari bermula 24 Ogos, baru-baru ini.




Sempena lawatan yang bertujuan untuk mencari peluang bagi menjalin kerjasama dalam bidang pelaburan antara kedua-dua pihak, rombongan Huaxicun juga mengambil kesempatan tersebut mengunjungi destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini.



Pada hari keempat berada di Terengganu, rombongan berkenaan dibawa melawat tasik terbesar buatan manusia yang terletak dalam daerah Hulu Terengganu iaitu Tasik Kenyir.

Kali pertama menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir dan berpeluang menerokai keindahan pulau-pulau sekitar tasik tersebut seperti Pulau Petang, Pulau Bayas dan Kenyir Island Hoping membuatkan rombongan Huaxicun, China terpukau dengan keindahan pemandangan semulajadinya dan membuatkan mata yang memandang terpegun sendiri.

Peluang meneroka pelbagai landskap yang terdapat di tasik dan pulau tersebut memberi pengalaman paling berharga buat rombongan Huaxicun.

 Di Pulau Petang, rombongan Huaxicun seolah-olah kembali ke alam semulajadi dan mendapat peluang keemasan untuk melihat sendiri keindahan flora dan fauna yang terdapat di pulau tersebut dan tidak ketinggalan mengunjungi Pusat Santuari Pulau Petang.

Selain melihat pemandangan yang begitu mengasyikkan dan gelagat ikan yang diternak di pusat santuari, rombongan Huaxicun disajikan dengan hidangan makanan tengahari yang menyelerakan seperti ikan baung masak tempoyak, tilapia masak tiga rasa, sayur kalian, ulam-ulaman, serta sup ayam. Tidak ketinggalan, durian dan rambutan juga dihidangkan di puncak Petang Island Resort untuk dinikmati rombongan terbabit.

Sebelum itu, rombongan Huaxicun telah di bawa melawat Sungai Como dan berkesempatan mendengar taklimat berkenaan projek penternakan ikan diusahakan secara sangkar yang dikendalikan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melalui Projek HIP ZIA Sungai Como bermula 2008.

Rombongan juga berpeluang melihat projek eko pelancongan yang diusahakan kerajaan negeri di Pulau Bayas yang akan dibangunkan sebagai Pulau Bebas Cukai dan dijangka siap sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi. Taman Herba dan Taman Orkid juga sempat dikunjungi dalam lawatan sehari ke Tasik Kenyir oleh rombongan Huaxicun.

Di Taman Herba, kesempatan untuk merasai khasiat air rebusan herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa tidak dilepaskan. Pengerusi Huaxi Group, Mr Wu Xie’ En turut menanam pokok Tongkat Ali di taman tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.