Halaman

22 August 2013

Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan' kekal jadi teras kerajaan

Menteri Besar bersalaman dengan Exco dan juga
pemimpin kanan kerajaan sebaik tiba di Wisma Darul
Iman menghadiri Sambutan Hari Raya KWDI.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri bertekad memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan agenda dan pendekatan yang sudah digunapakai sejak lima tahun lalu, iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Kelab Wisma Darul Iman (KWDI), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Kakitangan kerajaan mendengar amanat daripada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri, To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 “Kita akan memastikan pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ terus diamalkan dalam pemerintahan penggal kedua ini, selain meneliti dan menilai segala peranan kita kepada rakyat selama ini.

“Pada masa yang sama, jabatan dan agensi kerajaan negeri juga seharusnya memperbetulkan kesilapan dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sebagai pelanggan yang sentiasa berurusan dengan kita supaya rakyat berpuas hati,” katanya.

Selain itu, beliau dan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang lain berasa bahagia jika dapat melihat rakyat hidup aman dan tenteram di samping mengecapi nikmat pembangunan yang berjaya dilaksanakan.

Beliau juga akan memastikan lebih banyak pembangunan dan kemudahan kepada rakyat akan disediakan dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pelan perancangan dan hala tuju pembangunan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan juga sentiasa membuka pintu untuk menerima pandangan rakyat bagi memastikan pembangunan bergerak seiring dengan kehendak masyarakat sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.

Di samping itu juga, Dato’ Seri Haji Ahmad turut berharap sambutan Syawal yang berbaki dua minggu lagi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk mengukuhkan persefahaman dan perpaduan, selain meraikan dengan penuh rasa tanggungjawab sesama umat Islam.