Halaman

05 August 2013

Jambatan Bukit Kuang dibuka elak kesesakan Aidilfitri

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Jambatan Bukit Kuang, Kemaman yang masih dalam pembinaan dibuka sebahagian laluannya sejak minggu lalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas menjelang perayaan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dua lorong di jambatan itu yang dibuka kepada semua kenderaan, berjaya mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.

 "Jambatan Bukit Kuang dibuka dua lorong bagi memudahkan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Saya harap mereka menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya," katanya kepada Teganukita, semalam.

Jambatan empat lorong Bukit Kuang yang dibina dengan kos RM185 juta sepatutnya siap pada September depan, tetapi ia mengalami sedikit kelewatan berikutan keadaan cuaca dan musim tengkujuh yang menjejaskan kelancaran projek.

Pembinaan jambatan empat lorong sepanjang satu kilometer itu dibuat berikutan keperluan mendesak trafik, selain semakin banyak pelaburan dan kilang baru masuk di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kijal.

Selain itu, jambatan yang dibina lebih tinggi dari biasa iaitu 15 meter itu turut akan memberi ruang kepada kapal dari pelabuhan keluar masuk, dengan jangkaan banyak tanah sekitar Sungai Bukit Kuang akan disewa untuk dijadikan pusat baik pulih kapal dan pusat mengisi minyak serta air.

 Apabila projek jambatan ini siap pada akhir 2013, projek baru yang sudah diluluskan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak di sekitar Bandar Kijal termasuk pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas akan dimulakan.