Halaman

30 August 2013

Bantuan kewangan RM10,000 kepada waris pelumba basikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menyumbang RM10,000 kepada waris pelumba basikal Terengganu yang maut dalam kemalangan ketika menjalani sesi latihan, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mesyuarat mingguan Exco meluluskan bantuan kewangan itu sebagai menghargai sumbangan atlet berkenaan dalam sukan berbasikal negeri.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Exco dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) Dato’ Mat Razali Kassim.

Dalam kemalangan 5 Jun lalu, pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan, di atas jambatan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Mangsa dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori mengakibatkan cedera parah dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah.