Halaman

17 August 2013

Amal budaya hormat di jalan raya- JKJR

Oleh; Esah Abdullah 

Semua pemandu kenderaan diminta mengamalkan budaya hormat serta beri keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal semasa di jalan raya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Terengganu (JKJR) Terengganu, Encik Ahmad Firdaus Haron berkata, sikap saling menghormati di jalan raya perlu disemai di hati semua pemandu kenderaan agar kemalangan membabitkan golongan itu dapat diatasi.

Menurutnya, pejalan kaki dan penunggang basikal lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

“Kita menyarankan kepada para pemandu kenderaan menjadikan satu budaya semasa memandu dengan sentiasa menghormati serta memberikan keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

“Pejalan kaki itu sendiri juga diingatkan supaya dapat menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat dan juga jejantas yang telah disediakan demi keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.

Menurutnya, pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

Selain itu katanya, terdapat 10 langkah keselamatan bagi mengurangkan berlakunya kadar kemalangan antaranya termasuklah memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Sentiasa merancang perjalanan, ikut had laju yang ditentukan, mematuhi garis panduan semasa memotong dan juga berhenti apabila lampu isyarat merah.

 “ Elakkan daripada mengekori kenderaan lain, periksa cermin dan beri isyarat sebelum melakukan pertukaran lorong, ikut lorong yang betul, tidak memotong barisan, tidak mencelah diantara kenderaan lain dan juga sentiasa sabar ketika memandu,” katanya.