Halaman

09 August 2013

8,000 hadir rumah terbuka Aidilfitri Dato’Seri Idris Jusoh


Idris dan isteri (tengah) melambai tangan tanda kemeriahan Aidilfitri

Oleh: Mohammad Ishak 

Hari kedua umat Islam menyambut Aidilfitri tetap meriah dan masing-masing bersemangat untuk hadir majlis rumah terbuka terutama yang dianjurkan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut.

Majlis bermula jam 8 pagi itu ternyata mendapat sambutan luar biasa daripada warga Besut malah perantau yang masih berhari raya bersama keluarga turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis hari raya pemimpin terbabut.

Kira-kira 8,000 tetamu sebahagian besar penduduk Besut hadir untuk mengenali pemimpin mereka yang hadir termasuk Wakil-Wakil Rakyat Parlimen Besut serta pegawai kanan kerajaan yang diketuai Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB),Ibrahim Mamat dan Ketua Polis Daerah Besut, Superentandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan tradisional dan moden yang boleh diperolehi daripada sepuluh gerai khas yang dibina berkonsepkan restoran.

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, bersama isteri Toh Puan Sri Kamariah Che Zakaria meluangkan masa menyambut setiap tetamu yang hadir sambil menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak.

Idris ketika ditemui berkata, beliau bangga dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap majlis rumah terbuka yang diadakan di dewan berkenaan kerana memberi keselesesaan kepada tetamu dan ahli keluarga masing-masing.

Malah,katanya, ramai juga perantau dari ibu negara yang pulang berhari raya mengambil peluang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, semua wakil rakyat lain di Bahagian Besut masing-masing akan mengadakan rumah terbuka serentak esok (Sabtu) bagi memberi peluang orang ramai hadir berhari raya.