Halaman

18 July 2013

UniSZA bakal jalin kerjasama dengan Universiti Thailand

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan tiga universiti terbaik di Thailand selaras dengan program pengantarabangsa UniSZA bagi memperkukuhkan kedudukan institut itu di arena antarabangsa.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti yang dicadangkan ialah Chulalongkorn Universiti yang merupakan universiti pertama terbaik di negara itu, Kasetstart Univesiti dan Thammasat Universiti.

Katanya, kerjasama itu dijangka akan membabitkan kepada proses kemasukan pelajar, pensyarah dan profesor pelawat antara universiti berkenaan.

 ``Adalah diharapkan kerjasama itu dapat dilakukan tidak lama lagi dan usaha-usaha ke arah itu sedang dilaksanakan,’’ katanya kepada pmberita selepas menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Kemanusian dan Sosial Sains (HUSO) Universiti Prince Of Songkla (PSU) Cawangan Pattani, Thailand di UniSZA petang semalam.

Delegasi seramai tujuh orang itu diketuai oleh Dekan HUSO Prof Madya Awang Lanui. Beliau berkata, pada masa ini UniSZA telah mengadakan kerjasama dengan PSU melalui bentuk kemasukan pelajar, pensyarah, profesor pelawat dan penyelidikan.

Selain di negara gajah putih, UniSZA juga telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia, Timur Tengah, Perancis dan China.

Sempena dengan kunjungan HUSO itu, Prof Dr. Yahaya turut dijemput untuk membentangkan kertas kerja sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahasa di Phuket Thailand, pada 16 dan 17 November depan.

Selain itu, UniSZA turut diberi peluang untuk membentangkan 18 daripada 129 kertas kerja yang membabitkan 25 buah negara yang akan menyertai persidangan tersebut.

 Menurut Yahaya, atas jemputan itu UniSZA akan turut menghantar seramai 40 pegawai dan kakitangan untuk menyertai persidangan anjuran HUSO itu.

Sebelum itu, delegasi HUSO universiti turut mengadakan perjumpaan dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan melawat Fakulti Kontemporari Islam serta mengadakan perbincangan dengan Fakuliti Pengajian Pengurusan dan Perniagaan (FPPP)