Halaman

12 July 2013

TPM tunjuk teladan baik jaga adat sopan bulan Ramadhan

Laporan Kamarudin Mat Akib, Mohamad Ishak dan Harun Hassan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menunjukkan teladan yang baik dan menjaga adat sopan dan kemurniaan pada bulan Ramadhan dengan cara mengelak daripada mencerca dan menghina parti lawan, walaupun di saat genting menghadapi pilihan raya kecil.

Ketika ditanya seorang wartawan mengenai kenyataan parti lawan yang cuba memburuk-burukkan pemimpin Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, beliau secara berhemah mengelak daripada menjawab pertanyaan itu secara terus bagi mengelakkan daripada terkeluar perkataan yang buruk mengenai pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, dengan cara yang berhemah Timbalan Presiden BN dan Umno itu memberitahu wartawan pada kempen PRK kali ini BN hanya memberi tumpuan kepada kegiatan bercorak keagaaman sesuai dengan bulan puasa.



Pada masa yang sama, katanya, BN memberi tumpuan kepada usaha-usaha menyelesaikan isu-isu tempatan supaya rakyat tidak menghadapi sebarang masalah di masa depan.

“Sebahagian besar isu di DUN Kuala Besut telah pun kita selesaikan sebelum pilihan raya umum lalu dan kita juga sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa masalah lagi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berharap calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman mampu menyelesaikan masalah yang timbul selepas ini di kawasan DUN Kuala Besut jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada PRK ini.

“Isu-isu pertanian dan perikanan sering ditimbulkan di kawasan ini dan saya yakin Tengku Zaihan mampu menangani isu-isu tersebut kerana mempunyai pengalaman yang luas sebelum ini," katanya.