Halaman

12 July 2013

TPM melawat bekas senator Wan Ramlah Ahmad


Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanyakan sesuatu kepada Wan Ramlah sambil diperhatikan Tengku Zaihan

Laporan: Mohammad Ishak 

“Saya terharu bercampur gembira apabila pemimpin nombor dua negara, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempat singgah dan menemui saya di rumah,” kata Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Besut,Wan Ramlah Ahmad,67.

Wan Ramlah yang juga bekas senator adalah seorang pemimpin wanita yang disegani dan berpengaruh bukan sahaja di Besut malah di Terengganu.

Beliau yang memegang jawatan senator antara 2004-2010 kini terpaksa mengundurkan diri daripada politik selepas diserang angin ahmar pada 2010. Wan Ramlah memegang jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Besut paling lama iaitu selama 25 tahun bermula 1984 hingga 2009.

Kehadiran Timbalan Presiden Umno itu menyuntik semangat beliau yang sememangnya aktif berpolitik sehinggalah dia diserang angin ahmar.

Hadir sama melawat beliau ialah Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Menteri Pelajaran  II,Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ketua Umno Bahagian Besut dan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Muhyiddin mengambil kesempatan melawat tokoh wanita Terengganu itu sejurus selesai penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja. pagi tadi.

Wan Ramlah berkata, walaupun dia uzur tetapi tetap mengikuti perkembangan politik tanah air kerana ia sudah menjadi darah daging. “Saya mendoakan semoga calon BN Tengku Zaihan akan memperolehi kemenangan besar pada PRK itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Raja, dekat sini.