Halaman

24 July 2013

Terengganu masih terkawal dan selamat

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyokong akta anti Syiah diwartakan sebagai langkah pencegahan gerakan tersebut daripada terus menular meskipun Terengganu masih terkawal dan selamat daripada usaha pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fahaman tersebut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, sekiranya perkara ini perlu diwartakan di negeri ini, kerajaan negeri akan mematuhinya kerana ia memberi kesan yang baik terhadap semua pihak.

"Berdasarkan penyiasatan serta laporan yang diterima daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) didapati Terengganu merupakan antara negeri yang bebas daripada fahaman syiah.

"Usaha untuk merekrut itu ada tetapi kerajaan negeri lebih pantas mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perbuatan tersebut.

Katanya, Maidam dengan kerjasama pihak berkaitan bergerak secara bersepadu bagi membendung penyebaran fahaman syiah daripada menular di negeri ini.

"Saya yakin dan percaya dengan kesedaran dan langkah awal yang diambil kerajaan negeri, fahaman syiah tidak akan berkembang di negeri ini walaupun ada usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab ke arah itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, Maidam telah mengarahkan seluruh kakitangannya termasuk kadi dan sebagainya membuat penyiasatan rapi jika ada kes-kes terpencil yang tidak dapat dikesan.

"Mereka bergerak secara rahsia. Justeru, sudah tentu intipan juga perlu dilakukan secara rahsia,” ujarnya.

Sehingga kini katanya, berdasarkan laporan diterima ia selamat serta terkawal dan pihak berkaitan juga mengambil langkah awal untuk mencegahnya.

Tambah beliau, pihaknya juga mengharapkan kepimpinan di peringkat kampung seperti JKKK, imam dan bilal mengambil tahu perkara ini.

"Sekiranya ada maklumat mengenai penyebaran fahaman syiah samada menerusi sumber yang sahih mahupun khabar angin, segera membuat laporan kepada pihak berwajib supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” ujarnya.