Halaman

23 July 2013

‘Showme Skills Malaysia Competition 2013’ ubah persepsi latihan kemahiran bukan kelas kedua

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Dalam usaha untuk mengubah persepsi golongan pelajar bahawa latihan kemahiran bukan kelas kedua, Showme International College buat julung kalinya menganjurkan pertandingan kemahiran 'Showme Skills Malaysia Competition 2013', baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Showme International College, Haji Redzuan Abd Aziz berkata, pertandingan kemahiran sedemikian diharap membuka mata masyarakat dan menukar persepsi negatif, kerana latihan kemahiran kini mampu berdiri sama tinggi dengan bidang akademik.

"Program ini merupakan salah satu pendedahan awal kepada golongan pelajar sekolah menengah mengenai bidang pendidikan berasaskan kemahiran dan boleh dijadikan pilihan selepas menduduki peperiksaan SPM,” ujarnya.

YB Ghazali Taib 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, pertandingan berkenaan secara tidak langsung berupaya menanam minat pelajar sekolah khususnya pelajar tingkatan 5 tentang latihan kemahiran.

"Berbekalkan kemahiran asas mengenai sesuatu bidang yang dimiliki seseorang individu samada perempuan mahupun lelaki, merupakan satu kelebihan kepada mereka berbanding pelajar lain dan mampu menjanjikan bidang kerjaya yang lumayan suatu hari nanti.

"Contohnya, menerusi pertandingan sebegini, ia berupaya membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk memahirkan lagi kemahiran yang dimiliki seperti bidang masakan, penjagaan kanak-kanak, ICT dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Showme Skills Malaysia Competition 2013 di Hotel Permai Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, dalam masa yang sama, pertandingan sedemikian juga dapat menarik minat pelajar-pelajar lain untuk menceburi bidang kemahiran terutamanya selepas menamatkan alam persekolahan.

Pada pertandingan tersebut, 15 buah sekolah menengah dari seluruh Terengganu menyertai pertandingan bagi merebut piala pusingan dan hadiah lumayan dalam kategori yang dipertandingkan iaitu, ICT, Seni Kulinari dan Penjagaan Kanak-kanak.

Juara kategori ICT dimenangi oleh Muhammad Amirul Amin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, manakala kategori Seni Kulinari pula dimenangi oleh Fatimah Az-Zahra Aziz dan Siti Nor Nabilla Mohd Samsuri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin.
Pemenang bagi setiap kategori

Kategori Penjagaan Kanak-kanak dimenangi oleh Sharifah Nur Zahira Ilyana dan Nurul Najwa Zafirah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Negara.

Setiap pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, baucer berbuka puasa dan penginapan bernilai RM4400 bagi tempat pertama, RM735 bagi tempat kedua dan RM470 bagi pemenang ketiga.

Pasangan Fatimah Az-Zahra Aziz,17, dan Siti Nor Nabilla Mohd Samsuri,17, dari Sekolah Menengah Padang Midin berkata, hidangan ‘Fried Chicken
YB Ghazali bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar yang menerima anugerah
 Mushrooms Sauce’ telah berjaya menambat hati juri dan melayakkan mereka bergelar juara bagi kategori seni kulinari.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru Ekonomi Rumah Tangga (ERT) iaitu Cikgu Latifah Salleh yang telah banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar,” ujar dua pelajar tersebut.