Halaman

16 July 2013

Sampai bila-bila kami akan sokong BN – Abdul Rahman

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 
Gambar: Harish Fadzillah 

“Sampai bila-bila kami akan sokong BN (Barisan Nasonal). Pemimpin BN banyak berjasa kepada kami semua,” kata Abdul Rahman Mohmad, 73, penduduk Kampung Pengkalan Atap, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Beliau berkata, pemimpin BN silih berganti, setiap yang hilang boleh diganti dan penduduk kampung itu yakin pemimpin BN yang bakal datang, tetap dengan visi yang sama – membantu menyelesaikan masalah penduduk.



Katanya, penduduk kampung itu mendapat bantuan yang mencurah-curah dari kerajaan BN dan terakhir mereka bakal dipindahkan ke penempatan baru iaitu pangsapuri mampu milik di Kampung Tok Saboh, yang majlis pecah tanahnya baru saja disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Abdul Rahman berkata, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut kali ini penduduk kampung berkenaan telah sepakat untuk memilih calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, sebagai wakil rakyat.

“Tengku Zaihan bukan baru bagi kami kerana kami telah lama mengenali beliau sewaktu berkhidmat di daerah Besut.

“Malah, beliau terlibat secara langsung dalam projek membenteng pantai yang dilaksanakan Kerajaan BN di kampung ini bagi mengelakkan masalah hakisan pantai,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Puan Fatimah Abdullah, 50, berkata beliau tidak bercadang untuk beralih angin pada PRK kali ini kerana pilihannya tetap calon BN.

“Sejak dulu kami sokong BN dan pilihan raya ini pun sokongan kepada BN tidak berubah,” ujarnya.

#prk kuala besut