Halaman

10 July 2013

Penjawat awam perlu kejar keistimewaan bulan Ramadan

Oleh: Suriati Ali

 Penjawat awam beragama Islam perlu mengejar banyak keistimewaan yang dianugerahkan Allah s.w.t menerusi utusan Ramadan yang hanya hadirnya setahun sekali dan mengganggap kehadirannya adalah yang terakhir untuk hayat kita.

 Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata umat Islam perlu mengganggap Ramadan sebagai tetamu Allah s.w.t yang mengunjungi rumah kita, di mana kita pula perlu menjadi tuan rumah terbaik untuk memastikan bulan yang menjanjikan ganjaran istimewa ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Katanya, Ramadan juga harus dijadikan satu bulan yang amat dirindui dan dinantikan di kalangan umat Islam bagi mentarbiah dan memuhasabah diri.



“Pendekatan itu perlu bagi menzahirkan perasaan rindu itu untuk melaksanakan suruhan, tuntutan dan amalan sunat termasuk mengerjakan solat tarawih,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Daru Iman dan Anugerah Pekerja Cemerlang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, penjawat awam juga disaran supaya mencari idea-idea baru yang lebih bernas bagi memenuhi kehendak pelanggan dan orang ramai yang berurusan di jabatan masing-masing.

 “Buat masa ini pihaknya berpendapat penjawat awam perlu mementingkan keberhasilan mereka dalam melaksanakan tugas harian agar rakyat mendapat faedah maksimum.

 “Penjawat awam tidak boleh bekerja secara diam, tetapi mereka perlu bekerja secara berkumpulan dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.