Halaman

09 July 2013

MENUNGGU-NUNGGU SIAPAKAH CALON YANG BAKAL BERTANDING

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Hanya tinggal beberapa jam lagi, calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan disusuli pula pada sebelah malamnya Pas pula akan mengumumkan calonnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut.
Pas yang kebiasaannya mengumumkan calon terlebih awal, tetapi kali ini tidak berbuat demikian.
  Apakah kerana masalah kesukaran memilih atau ada strategi tertentu? Di peringkat BN beberapa calon disebut-sebut termasuk pegawai tadbir, pegawai tadbir agama (kadi), bekas kakitangan kerajaan dan beberapa aktivis Umno dan masyarakat.
 Ada yang berpendapat calon berpendidikan agama perlu dipilih berdasarkan keperluan kepimpinan negeri, tetapi ada juga yang berpendapat calon yang popular di kalangan rakyat perlu diberi keutamaan kerana penduduk Kuala Besut amat suka wakil rakyat yang bergelumang dengan mereka.
 Pas sendiri pun masih tercari-cari yang paling sesuai, termasuklah Nik Zawawi Salleh, tetapi ada penyokong yang berpendapat calon wanita Napisah Ismail perlu dikekalkan.
 Seorang calon Pas yang dikenali dengan jolokan “ tauke kayu saiz” juga disebut-sebut kerana dikatakan dipercayai popular.
 Ada juga kalangan Pas lebih memihak kepada Yang Dipertua Pas Besut sendiri bertanding iaitu Wan Azhar Wan Ahmad.
 Namun begitu, di pihak BN kali ini calonnya dikatakan seorang yang ‘winable’ dan telah dikenali oleh rakyat.
 Yang pastinya calon itu telah dipersetujui oleh Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak.
 Apakah dalam tempoh beberapa lagi ini tuan empunya diri sudah dimaklumkan bahawa mereka terpilih dan diminta rahsiakan hatta kepada keluarga sendiri sebelum tiba masanya?
 Namun begitu pastinya mereka akan mendapatkan restu keluarga terlebih dahulu dan jika masih mempunyai  ibubapa sudah tentu restu ibubapa akan terlebih dahulu dipohonkan.
  Beberapa fitnah sudah cuba disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab melalui SMS dan sebagainya kepada beberapa nama calon BN yang disebut-sebut dan diramalkan oleh media.
  Itulah sikap pembangkang yang bagi mereka perkara biasa membuat fitnah kepada mana-mana calon lawannya.
  Amalan menfitnah membuat tohmahan tanpa bukti adalah perbuatan jahat yang amat bertentangan dengan Islam.
 Sesiapa pun calon BN atau Pas yang bakal diumumkan nanti, diharapkan bertandinglah secara sihat dan menjaga kesucian bulan Ramadhan.