Halaman

22 July 2013

MB puas hati prestasi kerja jentera BN

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Harish Fadzillah 

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, puas hati dengan prestasi dan gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima segala kegiatan, termasuk kempen dari rumah ke rumah berjalan lancar dan mendapat respon yang baik daripada pengundi di DUN Kuala Besut.

“Pergerakan Wanita Umno melalui pasukan Jalinan Rakyat (JR) melaksanakan tugas berkempen dari rumah ke rumah pada setiap hari di mana hampir semua rumah di kawasan DUN ini telah dikunjungi,” katanya kepada Teganukita selepas mengunjungi beberapa rumah penduduk tempatan hari ini.

Katanya, baki tempoh kempen dua hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera BN bagi mendekati hati pengundi, seterusnya memberi undi kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman pada 24 Julai ini.

“Saya amat gembira kerana jentera parti berusaha gigih menyusun pelbagai strategi bagi memastikan calon BN menang pada PRK ini.



“Saya yakin dengan sokongan dan dokongan termasuk pemimpin Umno dan BN dari seluruh negara, BN akan menang pada pilihan raya 24 Julai nanti,” tambahnya.

Mengenai isu pembangunan yang dibawakan pemimpin Pas dalam kempen pilihan raya ini, beliau berkata ia memang tidak logik jika menjanjikan pelbagai projek pembangunan kepada penduduk tempatan.

“Ada pemimpin Pas janji nak bina rumah untuk rakyat jika mereka menang pilihan raya ini…mana ada logik janji tersebut kerana walaupun kedudukan kerusi DUN terikat 16-16, BN masih lagi kerajaan di peringkat Pusat.

“Walapun keadaan itu berlaku Pas tidak boleh sewenang-wenangnya melaksanakan apa juga projek di negeri ini kerana BN masih lagi memerintah negeri Terengganu dan negara Malaysia,” katanya.

Beliau berharap rakyat tidak menerima bulat-bulat sebarang perkhabaran yang dibawa oleh Pas dan konco-konconya kerana sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur fitnah dan fakta tidak betul.