Halaman

13 July 2013

Lebih 1000 pelajar sertai kempen keselamatan jalan raya

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 1000 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman menyertai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Allianz Malaysia yang bertujuan mendedahkan golongan muda khususnya pelajar sekolah mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya.

Pengurus Wilayah Pantai Timur, Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad, Tay Tam Huat, berkata sejak Julai 2011, sebanyak 61 kempen advokasi sudah dijalankan di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh ini, lebih daripada 400 pekerja sudah dilatih oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk menjadi Duta Keselamatan Jalan Raya.

"Sekolah adalah antara tumpuan kami pada kali ini. Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memupuk kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa.

"Untuk tahun lepas sahaja sebanyak 31 kempen sebegini sudah dilaksanakan. Setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama daripada golongan muda," katanya ketika berucap pada Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Allianz Malaysia, di SMK Sultan Sulaiman, baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 6000 kematian jalan raya dicatat setiap tahun di Malaysia dengan seramai 18 hingga 20 orang terbunuh setiap hari.

"Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 60 peratus daripada kematian yang kebanyakannya adalah golongan muda," katanya.

Justeru, katanya penting untuk menyebarkan pendidikan keselamatan jalan raya dan kesedaran untuk golongan muda supaya mereka sentiasa peka dan menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya.

Pada kempen itu, sebanyak 600 pelekat reflektif diedarkan kepada penunggang motosikal. Allianz Malaysia juga menaja pertukaran 100 topi keledar yang tidak selamat dan terlalu lama dengan yang diluluskan oleh SIRIM.

Selain itu, 300 baju hujan dan 20 buah Kerusi Booster Keselamatan Kanak-kanak diedarkan kepada pelajar dan guru sebagai satu inisiatif kepada pelajar dan guru di sekolah berkenaan.