Halaman

10 July 2013

Latar belakang akademik bagus mampu tarik sokongan padu pengundi

Oleh: Noraini Jusoh

Umno Terengganu yakin calon Barisan Nasional (BN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, yang mempunyai latar belakang akademik tinggi akan mendapat sokongan padu daripada pengundi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Biro Penerangan Umno Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar), berkata pucuk pimpinan BN membuat pilihan yang tepat apabila memilih Tengku Zaihan untuk bertanding di kawasan itu menentang calon Pas, Azlan @Endut Yusof.

"Beliau (Tengku Zaihan) amat sesuai menjadi calon BN menggantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut iaitu allahyarham Dr A.Rahman Mokhtar yang juga merupakan seorang yang berpendidikan tinggi.

"Ini adalah satu tindakan drastik yang dilakukan YAB Perdana Menteri kerana memperkenalkan seorang calon muda yang mempunyai pendidikan bagus dan berlatar belakangkan keluarga yang berpengaruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau Sempena Bulan Ramadhan 1434H di Bangunan Penyelaras UMNO, DUN Seberang Takir, semalam.

Katanya, beliau yakin soal pendidikan dan latar belakang keluarga calon BN tersebut tidak akan dipertikaikan oleh pengundi.

"Tengku Zaihan merupakan seorang Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dan beliau juga merupakan individu yang memegang jawatan dalam parti iaitu Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Pekan Baru, Kuala Besut.

"Sementara, bapanya seorang ustaz dan guru agama yang memang berpengaruh di kawasan berkenaan,”ujarnya.

Katanya, berasaskan kriteria yang ada pada Tengku Zaihan, BN bukan sahaja menawarkan ‘winnable candidate’ kepada pengundi malah memenuhi aspirasi orang muda.

Tambah Dato’ Haji Ahmad Razif, beliau yakin dan percaya pengundi muda akan menerima calon yang ditonjolkan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai itu nanti.

"Penerimaan anak-anak muda terhadap beliau rasanya tidak ada masalah kerana saya difahamkan beliau sering bergaul dengan anak muda dan penduduk di kawasan berkenaan dan yakin pengundi dapat menerimanya.

"Ditambah dengan majoriti yang agak besar kita perolehi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini, saya yakin BN akan terus kekal di Kuala Besut,” ujarnya.

Jelas beliau, semua jentera BN juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK tidak lama lagi.

"Saya harap semua jentera BN dan pengundi dapat menerima calon BN ini dengan hati yang terbuka.

"Walaupun kita mempunyai majoriti yang besar dalam PRU13 di kawasan berkenaan, saya berharap agar semua jentera BN bekerja lebih kuat dan jangan memandang mudah terhadap pihak pembangkang dan semoga tidak ada sebarang isu atau masalah dalaman yang timbul dalam jentera kita,” katanya.